显示标签为“utusan”的博文。显示所有博文
显示标签为“utusan”的博文。显示所有博文

2009年6月24日星期三

utusan:ISU-ISU AKHBAR CINA

Sebelum roboh rumah fikirkan rakyat
RUANGAN “Fokus Ibu Kota” dalam akhbar China Press pada Sabtu lalu mengutarakan tajuk Sebelum Roboh Rumah Fikirkan Rakyat tulisan Wu Zhi Yuan.

Rencana itu memberi pandangan terhadap operasi pasukan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan bangunan-bangunan yang diklasifikasikan sebagai haram.

DBKL merobohkan 15 rumah papan di Jinjang Tambahan dan MPS pula merobohkan 33 pintu kedai di Batu 16 Rawang. Insiden itu membawa kepada pergaduhan dengan penduduk yang nekad mempertahankan premis mereka.

Penduduk disindir dan ada yang ditahan dalam lokap. Rasa benci orang ramai terhadap pihak berkuasa tempatan meningkat kerana mereka amat keras tanpa budi bicara, tulis Zhi Yuan.

“Cuba bayangkan, kalau tempat yang diroboh itu tempat tinggal para penguatkuasa itu sendiri? Bagaimanakah respons mereka? Adakah mereka tidak akan menjadi seperti penduduk itu?

“Bagi penduduk, rumah yang diroboh bukan rumah biasa tetapi tersirat segala kenangan. Nampaknya operasi itu terlepas pandang mengambil kira semua itu,” komen penulis berkenaan.

Ketika penduduk ada masalah, mereka gagal bertemu dengan pihak berkuasa. Sebaliknya apabila operasi meroboh, pihak berkuasa mengambil tindakan begitu cepat. Ini membuatkan orang ramai tidak faham dan tidak berpuas hati.

Penulis itu mencadangkan agar pihak penguatkuasa berkenaan meletakkan diri mereka di tempat penduduk terbabit.

“Mereka perlu fikirkan orang lain juga. Memahami betapa sedih dan sakitnya hati penduduk sewaktu premis mereka dirobohkan.”

MCA dan Roket juga boleh berbincang

Akhbar Kwong Ming Jit Poh pada Sabtu lalu menerusi kolum “Berita Penting” melaporkan perkembangan politik negara ini dengan tajuk Demi kebaikan rakyat dan negara, MCA dan Roket juga boleh bincang. Berita itu mengiringi berita utama mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan antara Pas dan UMNO.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, parti itu tidak ada masalah. MCA katanya boleh berjumpa dengan Pas dan juga boleh berjumpa dengan DAP.

“Pendirian MCA sangat jelas, pemimpin Melayu atau pemimpin Cina semuanya boleh duduk semeja berbincang, demi kestabilan politik dan memulihkan pertumbuhan ekonomi negara.”

Beliau juga mengingatkan agar kepentingan bukan Melayu dan bukan Islam jangan diabaikan, sebab ia tidak selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun MCA yakin bahawa Perdana Menteri tidak akan membentuk kerajaan perpaduan dengan membiarkan kaum Cina menjadi parti pembangkang.

“Cadangan seperti itu tidak mungkin berjaya dan kurang sihat. Bolehkah anda bayangkan semua kaum bukan Melayu di negara ini menjadi pembangkang?

Berita utama akhbar itu yang bertajuk Muhyiddin Minta Nik Aziz Lupakan Kisah Lama pula melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melupakan sengketa lama antara Pas dan UMNO.

Sebaliknya Nik Abdul Aziz dicadangkan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan tanpa sebarang syarat.

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm